Kemenangan adalah 1 perkara yang menggembirakan. Betul? Akan tetapi, kemenangan ini membawa kesedaran kepada saya bahawa tuhan itu tidak bisa dicabar.

Awal tahun 2020, 1 peristiwa telah mempersoalkan minat dan kewujudan saya hingga membawa kepada persoalan demi persoalan antara saya dan tuhan tentang apa yang saya kerjakan. 

Sempat juga saya menutup sosial media, mengundur perlahan dari dunia sastera dan berlalu pergi. Itu lebih baik. Namun, sebelum menghilang. Saya fikir, adalah lebih baik mencuba nasib karya saya sekali lagi dalam Anugerah Sastera Johor yang saya tidak pernah menang walaupun sekali sejak tahun 2007.
Jahatnya, saya mengugut tuhan “Saya akan berhenti menulis, sekiranya saya tidak menang mana-mana anugerah pada tahun ini”

Dan hari ini, tuhan telah memberikan jawapanNya. Ampunkan hambaMu ini, Ya Allah! Malunya saya.
Terima kasih juga kepada keluarga, sahabat-sahabat penulisan (yang tidak disebutkan namanya) yang sering memberi semangat. Mentor-mentor penulisan saya Pn.Raihani Mohd.Saaid, Cikgu Shamsudin Othman, Abang Muhammad Lutfi Ishak, Pn.Nisah Haron dan lain-lain.

Alhamdulilah, Terima kasih PPJ, YWJ & negeriku tercinta JOHOR Darul Tak’zim







Sumber : Jendela DBP

Majlis diteruskan dengan menyaksikan penerima Hadiah Karya bagi penulis remaja bawah 19 tahun (puisi eceran), iaitu Norasikin Md. Khalid (“Tuanku Tiang Seri Negara Bangsa”), Aira Serafina Juanil (“Warkah Buat Guru”) dan Muhammad Faris Haikal Sabaruddin (“Di Tanah Bertuah Ini”). Penerima Hadiah Karya bagi penulis remaja bawah 19 tahun (cerpen eceran) pula dimenangi oleh Muhammad Faris Haikal Sabaruddin (“Dendam Si Belang”) dan Siti Khadijah Abdul Halim yang berjaya merangkul dua Hadiah Karya untuk dua cerpennya, “Lukisan Jiwa” dan “Dia Pergi Jua”.

Penerima Hadiah Karya Sastera Siber (puisi eceran) buat tahun ini pula dimenangi oleh Ramlee Wahab (“Kebal”), Rohaida Yon (“Setiap Hujung Tahun”) dan Shapiai Muhammad Ramly (“Di Manakah Engkau”). Sementara itu,  penerima Hadiah Puisi Eceran bagi tahun 2021 dipenuhi kalangan pemuisi mapan Johor, iaitu Nabiha Mohd Mashut (“Bunga Kebebasan”), Mohd Rosli Bakir (“Seruan Agung”), Raja Abdul Rahman Raja Basok (“Cinta Sungai Muar”), Rosman Md Shah (“Angin Utara, Selatan, Timur dan Barat”), Shamsudin Othman (“Segugus Ingatan Rubaiyat Bangsa”), dan Shapiai Muhammad Ramly (“Gelanggang Kali Ini”).

Acara diteruskan dengan pengumuman penerima Hadiah Cerpen Eceran, yang turut menampilkan beberapa karyawan berpengalaman merangkul hadiah kemenangan, iaitu Zalila Isa (“Pada Hari Buku Hilang dari Raknya”), Mohd Izwanuddin Abd Rahim (“Bidak”), Amida@Hamidah Abdul Hamid (“Bukit Janna”), Maslina Ngadiman (“Belayar ke Negeri Segantang Lada”), Khairul Ashraf Adrutdin (“Misdiagnosis III – Catatan (kepada) Idola”), dan Rohaida Yon (“Bait-bait Rindu”).


ASJ 2021 diteruskan dengan barisan penerima Hadiah Esei dan Kritikan Sastera diumumkan, iaitu Mohd Fairuz Mohd Padoli atau lebih dikenali dengan nama MF Kenchana (“Transformasi Karya Sastera kepada Medium Drama TV: Perkembangan dan Peranan”) dan Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar (“Hikayat Pelanduk Jenaka: Perkembangan Kecerdasan Bodily-Kinesthetic dan Kecerdasan Bahasa Kanak-kanak dan Remaja”).

Hadiah bagi kategori drama mempunyai beberapa pecahan genre dan pemenang, namun jelas, pengarang skrip drama yang selalu memenangi hadiah sayembara bagi penulisan novel sejarahnya, Rahimah Muda, berjaya merangkul dua hadiah, iaitu Hadiah Drama Eceran bagi skrip drama “Reyok” dan Hadiah Drama Pentas bagi Luqman Al-Hakim. Pemenang lain pula ialah Hadiah Drama Radio yang dimenangi oleh Aminah Mokhtar bagi skrip drama radio “Perempuan Nan Menangis” dan Hadiah Drama TV yang dimenangi oleh Mohd Fadzil Mazlan bagi skrip drama TV “Love You Ustaz”.

Majlis ASJ 2021 diteruskan dengan penerima Hadiah Kumpulan Puisi Remaja, iaitu Edawati Abd. Wahab bagi buku puisinya, Pahlawan, manakala Hadiah Kumpulan Puisi Kanak-kanak dimenangi oleh Nazim Mohd Subari bagi buku puisi Idolaku.

Majlis bertambah rancak dengan pengumuman hadiah bagi kategori buku persendirian. Kali ini, penerima Hadiah Kumpulan Puisi ialah Aminah Mokhtar untuk kumpulan puisi Berikan Aku Cantiknya Hati, penerima Hadiah Novel Kanak-kanak ialah Mohammad Nazry A. Salam untuk novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, penerima Hadiah Novel Remaja ialah Aminah Mokhtar untuk novel Ruyung Emas, dan penerima Hadiah Novel Dewasa ialah Faizul A. Rahim untuk novel Dendam Aduka. Sementara itu, acara kemuncak pengumuman penerima hadiah telah menamakan Tuah Fadhilah Ithnin sebagai penerima Hadiah Buku Autobiografi untuk bukunya, Visi Cari Tuah: Sebuah Memoir Autobiografi yang Belum Dicerita.

Bagi tahun ini, Anugerah Khas ASJ 2021 turut memilih Zaifulnizam Wagiran sebagai penerima Anugerah Penulis Muda Johor.

Majlis gilang gemilang ini turut diwarnai dengan acara pelancaran buku antologi puisi dan cerpen ASJ ke-11, Mentafsir Keberanian. Majlis turut menampilkan pameran khas, Pameran Shaharom Husain di Muzium Tokoh Johor, Johor Bahru bagi tokoh sasterawan, budayawan dan sejarawan besar Johor, Shaharom Husain. Beliau juga merupakan penerima Hadiah Karyawan Sastera Johor 2007 dan Anugerah Tokoh Budaya Negeri Johor 1991.

Jom follow FB Page, untuk banyak lagi tips fesyen dan bisnes Marhuna Official